Sunday, December 28, 2008

DOA AKHIR TAHUN DAN AWAL TAHUN UNTUK ORANG-ORANG YANG BERIMAN

Doa Awal Tahun & Doa Akhir Tahun

Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:
"Hampalah kami di sepanjang tahun ini".

Doa Akhir Tahun:


Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


Barangsiapa yang membaca doa awal tahun ini, insya Allah dirinya akan terpelihara daripada gangguan dan godaan syaitan di sepanjang tahun tersebut.

Doa Awal Tahun:


Maksudnya:

Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka.

Sunday, December 21, 2008

SEMBAHYANG MEMAKAI MINYAK WANGI BERALKOHOL.

Jumaat, 2008 Disember 19
Dicatat oleh BADAR SBPI Sabak Bernam
SEMBAHYANG MEMAKAI MINYAK WANGI BERALKOHOL.

SOALAN:Jelaskan hukum penggunaan minyak wangi beralkohol dalam solat.

JAWAPAN:Harus dan sah solat,walaupun menggunakan minyak wangi beralkohol.Ini kerana bukan semua alkohol adalah najis.Para ulama menyebut alkohol najis berdasarkan hadith Nabi yang memberi isyarat bahawa arak itu najis.Ia diambil dari ayat al-Quran yang menyebut:


`Arak, tenung dan tilik nasib, lemparan kayu nasib adalah kekotoran [`rijs`] dari hasil kerja syaitan`.[Al-Maidah:90]

Dan dari hadith oleh Abu Tha`laba al-Khushani di dalam Sohih al- Bukhari dan Muslim:

`Wahai Nabi Allah, kami tinggal di tanah Ahli Kitab, bolehkah kami makan dan minum di dalam bekas mereka? `Nabi membalas: `sekiranya kamu mendapati bekas selain bekasan mereka,maka jangan menggunakannya,sekiranya kamu gagal mendapatkan selainnya,maka hendaklah kamu basuh bekas itu dahulu dan kemudian makanlah menggunakannya`.

Imam An-Nawawi (Syarah Sohih Muslim 13/13:86) dan imam As-Shawkani(Naylul Awtar,1/71)menyebut, `maksud larangan makan menggunakan bekas-bekas mereka menunjukkan apa yang mereka masak dan minum menggunakan arak adalah kerana ia dihukum sebagai najis`.Hasilnya kesemua ulama empat mazhab sebelum itu pun telah menyebut bahawa arak adalah najis.
1) Mazhab Hanafi, menurut kitab al-Fiqh al-Islami wa adillatuh (6/158) menyebut bahawa jika terdapat setitik arak sebesar syiling di baju seseorang, maka solatnya menjadi batal.
2) Mazhab Maliki, disebut oleh Ibn Rushd dalam Bidayat al-mujtahid (2/125): “Tiada satu jenis pun dari alkohol, bangkai dan najis boleh digunakan kecuali untuk tujuan perubatan."
3) Mazhab Shafi’i, arak disebut najis sebagaimana disebut oleh Imam An-Nawawi di dalam al-Majmu’ 2/569-570 (dipetik dari Imam al-Ghazali).
4) Demikian juga menurut mazhab Hanbali (Ibn Quddama, al-Mughni, 9/152).

Benar 70 peratus atau lebih dalam arak adalah alkohol, tetapi ia jenis denatured alcohol yang telah diproses untuk tujuan memberikan kemabukan. Adapun alkohol yang terdapat di dalam minyak wangi adalah bukan jenis ethanol yang sama dengan apa terdapat di dalam arak, ia menggunakan absolute ethanol iaitu sejenis alkohol dengan hanya sedikit air dan campuran lain.Hasilnya kesan penggunaanya juga berbeza dari kesan arak, malah ia tidak lagi digelar arak, barang siapa yang meminumnya pula, ia mungkin boleh membawa seseorang itu kematian dengan segera!

Thursday, December 11, 2008

Bengkel bantu usahawan Selangor

Bengkel bantu usahawan Selangor
Selasa, 9 Disember 2008

SEBUAH program, ‘Bengkel Prospek Bisnes Selangor 2009′ akan dianjurkan bagi membantu para usahawan-usahawan di negeri Selangor.

Menurut Setiausaha Kehormat Dewan Perdagangan Islam Malaysia Cawangan Selangor, Mohd Yahya Sahri, bengkel berkenaan dibahagikan tiga sesi pembentangan yang dipecahkan beberapa prospek bisnes yang boleh diceburi oleh para usahawan di Selangor.

“Pembentangan daripada anak-anak syarikat kerajaan Selangor akan mendedahkan serta memberi peluang kepada para usahawan, kontraktor, pembekal serta pelajar mengenali serta mendekati potensi bisnes di Selangor,” katanya melalui satu kenyataan.

Program berkenaan akan diadakan pada 15-19 Disember ini bersempena dengan karnival Selangor Ria 2008 yang di anjurkan oleh Seksyen Sektoral Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor Stadium Shah Alam.

Sesi bengkel terbuka kepada semua terutamanya usahawan, bakal usahawan, pengarah syarikat, pedagang, peniaga, pelajar dan orangramai, bagi yang berminat boleh menghubungi sekretariat pada talian 03-40235155 email ysp3737my@yahoo.com atau layari laman web www.dpimselangor.com.

Tuesday, December 2, 2008

Islam dasar pengabungan PAS, dasar BN apa pula?

Rabu 3 Disember 2008 | 4 Dzulhijjah 1429 Hijrah
Islam dasar pengabungan PAS, dasar BN apa pula?
Anual Bakhri Haron
Fri | Oct 03, 08 | 11:24:08 am MYT
Kata-kata yang disuarakan oleh Presiden MIC yang berbunyi, "Cadangan menggabungkan semua parti yang bersifat perkauman ini sesuatu yang sukar dilaksanakan." (Berita Harian 30 September 2008).

Benar sangatlah kata-kata ini. Sampai bila pun cita-cita penggabungan, permuafakatan dan penyatuan akan menjadi kata-kata jinak buat pameran semata-mata. Bertolak dari sentimen perkauman yang taksubkan bangsa; Umno dengan ke-Melayuannya, MCA dengan ke-Cinaannya dan MIC dengan ke-Indiaannya, maka seruan konsep permuafakatan dan tolak ansur BN tidak membawa erti apa-apa.

2. Begitu juga dengan kata-kata Naib Presiden MCA, Dato' Donald Lim dan harapan seorang lagi Naib Presiden MCA, Dato' Ong Tee Keat di hari yang sama dalam akhbar yang sama.

Masing-masing menganggapkan ia idea yang baik tetapi apakah sentimen perkauman yang selama ini dipupuk dan dibajai oleh masing-masing parti komponen parti dalam BN boleh menumbuhkan sikap yang berkompromi dalam semangat persaudaraan yang murni dan tinggi?

PAS meletakkan titik persaudaraan tanpa mengira perbezaan bangsa dan suku kaum.

Teras bicara kita ialah kita semua daripada keturunan yang satu yakni Adam dan Hawa.

Semua orang adalah sama melainkan perbezaan maqam dan nilai mulia atau hinanya seseorang itu terletaklah diatas ukuran taqwa.

Dengan menggunakan "parameters" ini, PAS mempunyai seluruh potensi dan kekuatan yang ada untuk bertindak sebagai parti penyatuan rakyat.

Di atas pentas Islam inilah juga PAS sedang diterima dengan baik sebagai pilihan kepada Umno/BN.

Jika mahu dilihat masih relevan, inilah saat yang memerlukan Melayu dalam Umno datang dan memasuki PAS.

Dalam "mood" penggabungan yang sedang ghairah diterima oleh pemimpin komponen di dalam BN, tentu sekali langkah untuk memartabatkan ketuanan Islam adalah suatu yang amat menepati masa.

3. Pemimpin Umno perlu ingat bahawa bila Umno kekal dengan ketuanan Melayunya, pemimpin MCA pun boleh bercakap tentang ketuanan Cinanya.

Begitulah juga dengan MIC dan Gerakan dengan khayalan ketuanan masing-masing.

Dalam keadaan begini, perkataan penggabungan dan permuafakatan ke arah Integrasi Nasional hanyalah gimik dan fatamorgana.

Ia retorik dan sapuan gincu yang tidak mempunyai nilai apa-apa.

Sepatutnya inilah saat Umno meninggalkan ketuanan Melayu. Tidak sudah dengan terus berpegang kepada faham kebangsaan lapuk kerana ia hanya menganjurkan perkauman.

Di akhirat nanti, tiada harga berupa pahala untuk dinikmati oleh mana-mana pejuang bangsa. Di sinilah Islam meletakkan hujah bahawa ia agama penyatuan.

Ia agama yang tidak mementingkan bangsa dan semangat kebangsaan. Bahkan ia suatu agama yang menerima prinsip kewarganegaraan berasaskan semangat keantarabangsaan.

Ia agama sejagat yang menyatukan anugerah bangsa yang berbeza-beza dan bukan memecah belahkan orang diatas jalur-jalur kebangsaan.

Menjadi umat Islam ialah menjadi hamba Allah yang menjadi hamba kepada "tuan punya" kepada langit dan bumi ini terlebih dahulu.

4). Lantaran itu Islam sangat mementingkan hujah. Firman Allah S.W.T yang bermaksud,

"Katakanlah: "Allah", dan sesungguhnya kami atau kamu (orang-orang musyrik), pasti berada dalam kebenaran atau dalam kesesatan yang nyata. (Surah Saba' : Ayat 24).

Di sini, roh kebenaran Islam cukup jelas iaitu setiap sesuatu itu wajib disandarkan kepada fakta dan hujah.

Jika Umno mempunyai hujah untuk mempertahankan kebangsaan Melayu sebagai asas penyatuan, maka mereka bolehlah mengemukakan segala fakta dan segala alasan.

Akan tetapi, setakat yang dapat disaksikan, perjuangan Umno yang hujahnya kebanyakannya dibina di hujung keris dan tombak Melayu itu tidak memberi bekas dan membawa faedah kepada sejarah dan masa depan bangsa dan negara. Tiada signifikan apa-apa.

Apa yang jelas dapat disaksi rakyat hanyalah perpecahan, disintegrasi, korupsi, curiga, dengki, benci dan dendam. Cinta,rindu dan simpati antara kaum semakin tandus dari takung kalbu kehidupan.

4. Sudah sepanjang 50 tahun sikap curiga antara kaum semakin tajam. Jika sedikit masa dahulu masyarakat Cina pernah melahirkan Dato' Lee Kim Sai, kini Umno pula melahirkan Dato' Ahmad bin Ismail.

Ini menunjukkan jalan ke hadapan untuk Malaysia cukup buntu selagi Umno tidak berubah.

Maksud saya di sini ialah Umno perlu berubah dan kembali kepada Islam.

Bukan PAS lagi yang masuk Umno tetapi Umno yang mencari dan memasuki PAS.

Bermukabalah ke arah kembali kepada Islam - hanya inilah penyelesaian yang ada di hadapan kita. Jika tidak, Umno cuma mahu mengelirukan keadaan.

Umno hanya mementingkan survival dengan memainkan sentimen perkauman yang sensitif ini demi menyelamat dan menyambung kelangsungan hayat pemimpin mereka. Begitulah terkini dan trend Umno selama-lamanya.

Sesungguhnya, hampir semua orang tahu yang dia kini sedang bernafas dalam nyawa-nyawa ikan. Ada orang kata, lagi dua minggu dan ada pula yang lebih yakin bahawa sesuatu akan berlaku pada 13 haribulan.

Sayapun tidak sangat mahu ambil tahu tentang tarikh-tarikh ini. Apapun,sambil melihat budak-budak bermain bunga api, elok juga kita sama-sama saksikan. Ah, sepanjang-panjang tali; masakan tidak berhujung? - mr_