Monday, November 3, 2008

Pusat hub halal bernilai RM10.7 juta di Kelantan

Pusat hub halal bernilai RM10.7 juta di Kelantan
Mohd Nor Yahya
Mon | Nov 03, 08 | 8:13:42 pm MYT
PENGKALAN CHEPA, 3 Nov (Hrkh) - Hasrat kerajaan negeri menjadikan Kelantan lokasi hub halal utama di negara ini hampir menjadi kenyataan apabila kawasan perindustrian berasaskan produk halal diwujudkan.

Pusat pengeluaran produk makanan halal berasaskan buah-buahan dibina di sini membabitkan kos sebanyak RM10.7 juta melalui peruntukan kerajaan pusat bagi Rancangan Malaysia Kesembilan.

Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dipertanggungjawab membangunkan taman hub halal tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Wan Yahya Wan Salleh berkata, kawasan perindustrian Pengkalan Chepa II akan menjadi pusat pengeluaran puri, jus, kerepek ubi dan pisang serta sos.

"Manakala berasaskan reroti menghasilkan roti dan kek. Bagi makanan sejuk beku pula karipap, pau, roti canai, donut dan martabat," katanya ketika mengadakan lawatan bersama media ke kawasan industri tersebut, petang ini.

PKINK mengubahsuai deretan bangunan yang tidak digunapakai melibatkan kos sebanyak RM5.2 juta bagi menyediakan prasarana dengan memenuhi syarat-syarat pengeluaran sijil halal.

Menurutnya, dari segi pembelian peralatan dan mesin ia dibuat melalui tender terbuka, di mana dua syarikat dipilih iaitu Datari (M) Sdn Bhd dan Maju Megasama Sdn Bhd bagi membekalkan peralatan melibatkan kos RM5.5 juta.

Seramai 9 pengusaha dipilih bagi projek perintis produk halal tersebut. - mj

No comments: